Damba Syurga


Saturday 3 December 2011

Riwayat Bidadari Syurga

HIKAYAT ADAM DAN HAWA
Dari segumpal tanah menjadi seketul daging
Dari sebatang rusuk menjadi sesusuk tubuh
Adam dan Hawa bersatu di syurga
Terpisah di dunia
Walau berabad di jarak waktu
Dengan izinNya pasti kembali bertemu

LARIAN KASIH HAJAR R.A
Ketika anak meraungkan tangisan
Hati ibu tidak keruan
Berlarilah Hajar dari Safa ke Marwah
Mencari petunjuk bantuan Allah
Hentakan kaki menerbitkan air
Penghilang dahaga dan kering di bibir
Hajar... hikayatmu merentas kurun
Menjadi ingatan turun temurun

MARYAM SI PERAWAN SUCI
Akan tumbuhkan benih
Tanpa air yang menyiram?
Akan mekarkah bunga
Tanpa cahaya suria?
Maryam... engkau jadi pilihan Allah
Membuktikan kudratNya yang Maha Kuasa

RAHIM AMINAH BINTI WAHAB KANDUNGKAN HIKMAH
Semulia-mulia rahim
Yang mengandungkan bayinya
Semulia-mulia wanita
Yang mengandungkan rahmat
Tidak akan terulang lagi di dalam hikayat
Kisah laksana Aminah binti Wahab
Ibu pembawa berkat

LAGENDA CINTA KHADIJAH R.A
Ketika dia keseorangan,
Engkau menjadi teman
Ketika dia disisihkan,
Engkau setia di sisinya
Ketika dia terbuang,
Engkau tetap menyayanginya
Ketika dia kebuntuan,
Engkau menjadi penunjuk jalan
Wahai Khadijah...
Cintamu menjadi lagenda

PENGORBANAN SAUDAH
Wahai Saudah
Kau utamakan yang lebih utama di hati baginda
Walau dirimu berendam air mata
''Wahai Rasulullah
Biarkanlah aku terus menjadi isterimu
Kerana kedudukan itu
Lebih mulia dari seorang janda"

FITNAH AISYAH DIBELA ALLAH
Khabar al-ifqi satu titik pemula
Telah mencalar kebahagiaan
Fitnah munafiqun tak kenal sesiapa
Insan yang mulia atau sahaya
Hatta dirimu ummahatul mukminin
Yang setanding al-mukatsirin

HAFSAH BINTI UMAR MENYATUKAN HELAIAN WAHYU
Hafsah
Dalam kelemahan sebagai manusia
Masih ada ruang memohom ampunNya
Kau satukan helaian wahyu
Kalimah yang agung
Menjadi lembaran pedoman turun temurun

KASIH ZAINAB BINTI KHUZAIMAH KEPADA SI FAKIR
Wahai ibu orang-orang miskin
Hatimu diciptakan Allah terlalu belas
Kasihmu tertumpah pada yang fakir
Simpatimu terlimpah pada yang dhaif

HINDUN YANG BIJAKSANA
Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata
Penawar hati
Penenang fikiran
Di rumah dia isteri
Di jalanan kawan
Sewaktu kita buntu
Dia penunjuk jalan

KESABARAN RAMLAH DIGANJAR ALLAH
Iman dan taqwa ini
Begitu menusuk jiwanya
Hingga pujukan ayahnya
Gagal melunturkan jiwanya
Ayahnya Musyriq
Suaminya Nasrani
Kesabaranmu diganjar Allah
Ayahmu menjadi Muslim
dan suamimu kini Rasulullah SAW

ZAINAB BINTI RASULULLAH SAW DI ANTARA DUA CINTA
Di kiri kekufuran di kanannya iman
Di sisi suami di hati seorang ayah
Di antara hukum dan di antara cinta
Berdirinya dikau di tengah-tengahnya
Bukan mudah menjadi puteri Rasulullah
Ketika suamimu masih jahiliah

FATIMAH AZ-ZAHRAA' BUNGA SYURGA
Dia bagaikan wangian bunga dari syurga
Mekar di hati ayahanda
Harum di hati umatnya
Siapa yang menginginkan pasangan semulia Ali
Jadilah bunga
Seindah Fatimah Az-Zahraa'

SINGGAHSANA BALQIS
Mana lagi nak ditemu hikayat
Kisah Balqis dan Nabi Sulaiman
Disinarkan cahaya pada jahil Sang Ratu
Dan di dalam cahaya mereka bersatu

PESONA ZULAIKHA
Rayuan Zulaikha pada Yusuf
Beralih pada yang Maha Satu
Kerinduan pada dambaan hatinya
Bertukar pada yang Maha Qudus
Wahai Zulaikha
Kau temui Cinta Khaliqmu
Ketika mengejar cinta Yusuf

NALURI KEIBUAN YUKABID TERCABAR
Hatinya gundah jiwanya resah
Anak yang lahir menjadi rahsia
Ketika Yukabid menghanyutkan anaknya
Hati rawannya tak putus berdoa
Semoga selamat dan ditemukan semula
Hanya Allah penentu segala

HARUMAN MASYITAH
Siapakah yang dapat melupakan haruman Masyitah?
Wangian dari minyak yang panas mendidih
Menyambut pengorbanan Masyitah dan keluarganya
Sebelum disambut oleh wangian Syurga

ASIAH RATU SYAHADAH DI MAHLIGAI FIR'AUN
Engkaulah permaisuri 
Di mahligai tirani
Teguh imanmu walau tersembunyi
Istana bukan penjara
Nikmat yang alpa
Sinar imanmu tak kelam permata

SUSU HALIMAH AS-SA'ADIAH JADI SANTAPAN RASULULLAH
Senyum si yatim menyapa jiwa yang gundah
Kaki yang lesu kembali gagah
Biar tidak berganda upah
Asal diri terplih menerima barakah
Engkaulah ibu susuan yang menatang hikmah
Engkaulah Halimah As-Sa'adiah

SYURGA MENANTI SUMAYYAH SEKELUARGA
Sumaiyyah...
Dalam dirimu yang selembut sutera
Kau miliki iman yang teguh
Bak lantera kau nyalakan obor agama
Tempuh jahiliah dengn berani penuh seluruh
Semua makhluk jadi saksi
Ketabahanmu dan keluarga
Semua malaikat menyambut ketibaan kalian
Di syurga...

KASIH BARAKAH PENGASUH RASULULLAH
Wahai Barakah, wahai Ummu Aiman
Si yatim ini kau asuh penuh kasih
Walau miskin tidak pernah kau sisih
Tanpa sedar dirinya insan terpilih
Tak pernah sekali kau biarkan dia merintih

NASIBAH BERJUANG TANPA GENTAR
Tanpa gentar engkau berjuang
Penuh megah kau julang panji-panji Islam
Wahai Nasibah
Engkau adalah lambang
Kegagahan seorang wanita

KEPASRAHAN RUMAISA
Rumaisa...
Kau sedar setiap anugerah itu adalah pinjaman
Penuh redha engkau terima
Setiap kau miliki bukanlah milikmu yang hakiki
Tiba masa harus kembali pada yang Haq
Walaupun yang dikembalikan itu
Adalah anakmu sendiri

AL-KHANSAA RELA ANAK-ANAKNYA SYAHID
Al-Khansaa' berpuisi pada putera-puteranya:
''Wahai putera-puteraku,
Jika kamu bangun esok pagi
Keluarlah memerangi musuh-musuh Allah
Dan keranaNya kamu akan mendapat kemenangan."
Tidak diratapi putera-puteranya yang gugur
Tidak disesali putera-puteranya yang syahid

KHAULAH ADALAH PEJUANG MISTERI ITU
Siapakah yang menerbangkan debu pasir
Dengan deruan kuda yang ditunggangnya
Selendang yang menutupi wajahnya
Menjadi pelindung hiasan dunia
Halus jemarinya menghunus senjata
Lembut tingkahnya bertukar perkasa

RAHSIA ASMA' BINTI ABU BAKAR
Engkaulah digelar Dzatin-Nithaqain
Rela berkorban demi ayah tercinta
Biar ditampar, biar dihina
Rahsia tetap menjadi rahsia
Redha Allah sentiasa bersamamu
Wahai Asma' binti Abu Bakar

KESETIAAN NAI'LAH BINTI AL-FARAFISHAH
Yang bijak, yang anggun
Yang tegas, yang lembut
Dirimu pelengkap sifat wanita
Kesetiaanmu pada Uthman tiada tandingan
Wahai Nai'lah Al-Farafishah
Engkaulah hiasan sebaik permata

ZAINAB JADI SAKSI KORBAN KARBALA
Engkau jadi saksi para syuhada'
Yang gugur di medan Karbala
Engkau jadi saksi serakah manusia
Yang tamak mengejar gelar dan harta
Walau tanah berkuah darah
Semangatmu tidak pernah parah
Kerana engkau, wahai Zainab
Adalah serikandi agama

CINTA RABI'AH AL-ADAWIYAH
Kelunakan tangisan kasihmu
Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan
DariMu Tuhan Pencipta alam
Rabiatul Adawiyah
Pengabdianmu jadi iktibar para sufi

CAHAYA ZUBAIDAH BINTI JA'FARA
Setinggi-tinggi darjat wanita
Adalah yang menenangkan jiwa pencintanya
Engkau Zubaidah
Bagai cahaya di dalam hidup Harun Ar-Rasyid
Pembuka jalan melerai kebuntuan
Penyingkap tabir menyerlahkan kedamaian

MATA ZINNIRAH JADI TARUHAN
Wahai Zinnirah
Kau pertaruhkan indera cahaya dunia
Demi cinta yang engkau damba
engkau korbankan indah yang maya
Demi redha yang Maha Esa

PENANTIAN AINUL MARDHIAH
Engkau, Ainul Mardhiah
Adalah bidadari hiasan syurga
jadi pembakar semangat perwira
Sebagai ganjaran para syuhada

Dalam kelembutanmu,
ketegasanmu tak tergugah.
Dalam penuh rasa malumu,
suaramu menggegar dunia.
Di sebalik halus jemarimu,
tergenggam utuh janji setia

Wahai bidadari syurga...
kau tambat hati pada yang ESA.